"Ekk ... kau siapa? Ini Negaraku"
Namanya Syed. Umur 40-an. Berasal dari Pakistan, masuk ke Malaysia empat tahun lalu. Menyewa bersama tiga orang kawan senegara di Bandar Teknologi, Kajang. Kata Syed, dia sudah berkeluarga - ada seorang isteri dan enam orang anak di Pakistan.
Inilah Syed, si pemotong rumput warga Pakistan
"Saya orang susah tuan", katanya sambil bertanya jika saya mahu memotong rumput di halaman rumah. Saya tidak menyuruhnya memotong rumput kerana kebiasannya saya akan memotong sendiri di halaman atau di kebun yang sekangkang kera, itu pun tanah reserved Jabatan Saliran dan Perparitan. Saya bukan menceroboh tanah milik kerajaan tetapi jika tanah itu terbiar, ia bersemak samun. Jadi, untuk mengelakkan ia menjadi semak samun berhampiran rumah, saya bercucuk tanam sekadar sepohon dua pokok buah-buahan.
Berbalik kepada cerita Syed, daripada pendapatannya memotong rumput, setiap bulan beliau menghantar kira-kira RM700.00 untuk perbelanjaan keluarganya. Kata Syed lagi, beliau membayar RM160.00 untuk sewa rumah dan bil elektrik serta air. Sama ada percaya atau tidak, Syed hanya belanja makan untuk dirinya sebanyak RM60.00 sebulan.
"Makan satu kali sehari tuan, waktu malam", katanya sambil menambah, beliau tidak boleh gagal menghantar RM700 sebulan kepada keluarga sebab itu dia perlu ikat perut.
Benarkah Syed hanya makan sekali sehari? Benarkah beliau hanya membelanjakan RM60 sebulan untuk makan? Apalah yang boleh dimakan dengan duit RM60 itu? Ternyata, apa yang diluahkan Syed agak sukar diterima atau dipercayai oleh kita yang mewah berbelanja di negara sendiri. Kita berbelanja sekurang-kurangnya RM5 uantuk makan tengahari, RM2.00 untuk sarapan pagi menjadikan sekurang-kurangnya kita berbelanja lebih kurang RM200 untuk sarapan dan makan tengahari sebulan. Tetapi bayangkan Syed.....
Setiap hari Syed mengunjungi beberapa buah taman jika bertemu dengan penduduk untuk memotong rumput. Namun, rumput di perkarangan rumah tidak di potong setiap hari. Oleh itu, Syed mencari rumah-rumah yang rumputnya panjang. Jika bernasib baik, dapatlah rezeki. Selang beberapa minggu, biasanya sebulan, Syed akan mengunjungi semula rumah berkenaan untuk menawakan perhidmatan. Dia juga bernasib baik kerana ada beberapa orang penduduk yang "melanggannya" setiap bulan untuk perkhidmatan memotong rumput.
Ditanya, berapa yang dibayar untuk memotong umput, Syed berkata, terpulang kepada tuan rumah atau penduduk. Beliau tidak pernah menentukan bayaran seperti si pemotong rumput yang lain. Ada yang membayar RM20 atau RM30 malah ada juga yang membayar RM50 ke RM80 menurut keluasan tanah atau kawasan.
Mula datang ke Malaysia empat tahun lalu, beliau baru sekali pulang menemui keluarga di Pakistan. Julai lalu, beliau pulang ke kampung selama 30 hari dan kembali semual ke negara ini untuk mencari pendapatan.
Ditanya bila lagi beliau akan pulang, jawabnya, "mungkin tiga atau empat tahun lagi".
Pekerjaan Syed memerlukan beliau mempunyai sebuah motosikal dan sebuah mesin pemotong rumput yang dibeli daripada rakan senegara yang pulang terus ke Pakistan. Selain Syed, ramai juga rakan senegaranya melakukan pekerjaan yang sama yang kita penduduk tempatan tidak suka melakukannya. Bayangkan jika tidak ada orang seperti Syed, siapakah yang akan diharap untuk memotong rumah penduduk kita?
Ternyata kita mengharapkan orang asing dalam kebanyakan hal kehidupan kita. Daripada pembantu rumah, pekerja dapur, tukang kebun, pemandu, pengawal kelselamatan dan lain-lain, semuanya diisi oleh orang asing. Kekadang saya naik darah apabila ditahan oleh pengawal asing yang digaji untuk mengawal kawasan taman atau perumahan yang saya diami.
"Ekkk..., ini rumah aku, taman tempat tinggal aku, negara aku... mana mungkin orang asing pula yang mengawal aku keluar-masuk?".
Kini, banyak taman perumahan yang mengaji pengawal keselamatan yang jaganya ialah warga asing. Bila difikirkan, mereka ialah pengawal keselamatan yang digaji untuk mengawal keselamatan penduduk. Berkesankah bila soal keselamatn dipertanggungjawabkan kepada warga asing? Apa nak jadi?
Entah la .. kat kawasan rumah anastasyea pun, Guard memang guna warga asing. Bukan setakat tu je .. rumah sebelah (2-3 bijik) disewakan kepada orang asing. Rasa mcm tak tinggal kat Malaysia je.
BalasPadam