Terbalik Akibat Pusing U
Lagi kemalangan di simpang Taman Desa Mewah - Bandar Sunway Semenyih akibat kedegilan para pemandu kenderaan berat membuat pusingan U. Kali ini kemalangan pada jam 11.30 pagi 21 Nov 2013 melibatkan sebuah lori trelar yang membawa sampah kitar semula. Lori terbalik di persimpangan jalan mengakibatkan jalan masuk dan keluar kedua-dua taman terhalang sepenuhnya.
Kesulitan lebih 2,000 penduduk berterusan hingga jam 8-9 malam kerana kesesakan dan kesukaran keluar dan masuk. Terima kasih kepada penduduk yang secara sukarela menjadi "polis trafik".
Tindakan penduduk yang berang dapat dikawal daripada membakar lori yang terbalik itu. Mujur, PDRM menghantar 4 buah kereta peronda dan 5 orang anggota trafik. Sebuah jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelemat Semenyih juga berada di lokasi untuk membersihkan tumpahan diesel.
Penduduk juga berang apabila panggilan kepada Ketua Penguatkuasa Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan Ahli Majlis MPKj zon 15 tidak berjawab. Sebelum ini penduduk telah mengadakan beberapa bantahan kerana kenderaan berat membuat pusingan U. Perbincangan dengan MPKj juga telah diadakan. Malah, wakil-wakil penduduk telah menemui serta menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar Selangor pada 2012. Malanganya sehingga kini tiada tindakan daripada MPKj walaupun arahan sudah dikeluarkan oleh Menteri Besar sendiri pada perjumpaan dengan wakil penduduk di SUK.
Bahan plastik kitaran semula (gambar atas) seberat lebih 20 tan itu akan dihantar ke kilang di Pandaraman, Klang untuk diproses menjadi biji-biji manik. Difahamkan, satu tan kitaran plastik yang siap diproses boleh menghasilkan laba ratusan ribu ringgit.
Disebabkan sikap pemandu yang degil (berbaju T putih berbelang di bawah) dan tidak mengikuti peraturan jalan raya, kemalangan ini telah memberikan pelbagai kesan yang sepatutnya tidak berlaku. Polis Kajang terpaksan menghantar 4 buah kereta peronda dengan lapan orang anggota, 5 anggota trafik dan sebuah jentera bomba dengan 6 anggota. Pada masa sama, ribuan penduduk menghadapi pelbagai kesulitan seperti kesewsakan melampau dan masa yang terbuang. Untuk rekod, kawasan ini dijadikan tempat membuat pusingan U oleh berpuluh-puluh kenderaan berat setiap hari. Kemalangan juga sudah sering kali berlaku.
WWB 6612 kepunyaan CDS Kitar Semula Sdn Bhd yang membuat pusingan U di Simpang Tiga Taman Desa Mewah - Sunway Semenyih. Berbaju putih di bawah ialah pemandu treler di atas.
Ekoran kejadian terbaru itu, penduduk mengulangi amaran akan mengambil tindakan drastik andai pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) tidak mengambil tindakan yang berkesan.
Kesusahan penduduk - terpaksa berjalan kaki sejauh 1.5 km kerana jalan keluar/masuk terhalang. Juga telah menimbulkan kesusahan kepada calon-calon SPM
Ulasan
Catat Ulasan