Rabu, 6 Oktober 2010

Kamera "Kaki Lima", SLR dan DSLR Nikon D5000

Kamera "Kaki Lima"
Saya  mula menggunakan kamera  ketika di tingkatan  tiga. Disebabkan minat untuk menggunakan kamera, saya hanya mampu membeli kamera murah yang dijual di kaki lima dengan harga RM15.00 pada tahun 1975. Duit itu saya kumpul daripada belanja sekolah dan juga pemberian "duit raya". Zama dulu duit raya hanya sekadar 10 sen atau 20 sen yang sama juga nilai duit belanja sekolah. RM15.00 pada ketika itu boleh dikatakan mahal juga.

Gambar bersaiz 3 inci (separuh 3R) yang diambil menggunakan kamera "kaki lima", menggunakan filem gulong monochrome 120

Kamera itu menggunakan filem gulong 120 dan sudah tentulah hanya gambar hitam putih sahaja yang dapat diabadikan. Jika saya tidak silap, era gambar warna  hanya bermula pada 1977 atau 1978 (tengah cek fakta) yang perlu diproses di sebuah firma di Kuala Lumpur sahaja (pada ketika itu). Segulong filem  110 sebanyak 16 dedahan berharga kira-kira RM8.00 (jika tak silap) ketika itu. Sekarang filem-filem hitam putih malah bewarna seperti itu amat sukar diperolehi. Filem gulong hitam putih 120 kini berharga paling kurang RM24.00 untuk 24 dedahan tetapi   tidak banyak kedai gambar yang menjualnya.

Filem gulong  hitam putih (monochrome) 120. Sebenarnya filem jenis ini banyak digunakan oleh juru gambar profesional dan studi-studio gambar. 

Kamera "pandang bawah" Mamiya DRL juga menggunakan filem 120. Pada 1960-an hingga 1980-an, kamera ini banyak digunakan oleh Tukang Gambar khususnya di studio-studio (kedai) gambar.

Daripada kamera murah itu saya belajar menggunakan kamera dan dapatlah mengambil gambar keluarga untuk dijadikan kenang-kenangan.  Yang lucunya, pada kali pertama menggunakan kamera, saya telah membuka filemnya untuk melihat gambar yang diambil tetapi berasa hairan kerana filemnya hanya hitam atau gelap dan tiada satu gambar pun yang dapat dilihat. Kemudian saya pergi ke kedai gambar  tempat saya membeli filem yang teletak di Jalan Bunga Raya, Melaka. Di kedai itu, saya bertanya kepada "tukang gambar" mengenai masalah filem saya yang "tiada" gambar. Saya juga membawa kamera "kaki lima" itu bersama  dan minta pekedai itu ajarkan cara gunanya.

Tukang gambar berbangsa China itu dengan senyum, memberitahu saya supaya menghantar filem itu ke kedai (studio) gambar terlebih dahulu untuk "dicuci" (Perkataan "cuci" sering disebut orang untuk merujuk mencetak gambar). Selepas itu, barulah dijadikan negatif dan akhirnya barulah gambar hitam putih dicetak, jelas tukang gambar itu lagi.
(kiri) Filem  negatif 120 yang dibungkus pelapis kedap cahaya. (kanan) Spool yang digunakan untuk menggulung filem

Disebabkan filem yang pertama saya beli itu sudah dibuka, maka sebahagiannya telah expose kepada cahaya dan apbila dihantar ke kedai gambar hanya beberapa keping sahaja  yang ada (jadi) gambar. Itu pun, gambarnya tidak baik kerana ada yang gelap dan   "hilang" kepala disebabkan tidak mahir lagi menggunakan kamera.

Walaupun begitu, tidaklah susah menggunakan kamera "kaki lima"  kerana ia tidak memerlukan apa-apa setting. Halakan kamera kepada objek di tempat yag cukup cahaya, petik pengatupnya dan akan jadilah gambar yang cantik bila  diproses. Oleh itu, selepas beberapa ketika, saya sudah sedikit mahir menggunakan kamera. Saya katakan begitu kerana gambar-gambar yang diambil agak lebih baik daripada sebelumnya. Namun, timbul masalah untuk "mencuci" gambar-gambar yang diambil kerana kosnya yang mahal. Sebagai budak sekolah manalah ada duit, tambahan pula "mencuci" sekeping gambar  bersaiz 3R berharga 80 sen. Oleh itu, sebagai alternatif, saya hanya mencetak gambar separuh 3R apabila ada duit untuk berbuat begitu dan harganya ialah 50 sen.

Inilah rupa filem katrij 126, 24 dedahan.  Filem ini ialah filem warna yang saya pernah gunakan  dengan kamera kompak Kodak

Kamera Kompak Kodak
Semasa saya di tingkatan empat, seorang kawan saya berbansga China menawarkan kepada saya sebuah kamera kodak yang menggunakan filem katrij 124 (gambar atas). Saya sudah lupa berapa harganya   tetapi apa yang saya ingat, saya harus membayar kepada kawan saya itu RM1.00 setiap minggu sehingga selesai. Kamera model seperti itu kalau yang baru saya rasa berharga puluhan ringgit juga dan tentunya  saya tidak mampu membelinya. Mengingati semula cerita lama, budak Cina itu sanggup menjual kameranya supaya saya membantunya dalam subjek Bahasa Melayu.

Selang beberapa ketika, apabila saya berasa telah "agak pandai" mengambil gambar,  saya beranikan diri untuk meminjam sebuah kamera SLR milik seorang berbangsa Inggeris bernama Humfrey Ball (kini mendiang).  Beliau ialah seorang Peguam yang  merupakan majikan ayah saya yang mempunyai sebuah kebun buah-buahan di Kampung Bukit Punggor, Alai, Melaka. Ayah saya hanyalah seorang tukang kebun sahaja (kini allahyarham). Al-Fathihah kepada  ayah saya meninggal dunia pada tahun 2000)

Ini gambar saya (atas) dan keluarga saya yang diambil oleh Humfrey Ball menggunakan Kamera Canon SLR 35 mm. Lokasi: Kampung Bukit Punggor, Alai (kini Crystal Bay), Melaka.
Zaman sekolah..... Juga diambil menggunakan Canon SLR 35 mm (Budak-budak dalam gambar ini jika terbaca, tolong e-mel saya. Apakah perkembangan anda semua sekarang. Sudah berapa anak, cucu?)

Canon SLR 35 mm
Nasib saya baik kerana hasrat saya untuk meminjam kamera itu difahami oleh majikan ayah saya tetapi tidak diketahui oleh ayah saya. (Confirm ayah saya akan marah kalau dia tahu)  Malah,  peguam itu telah menghadiahkan kamera SLR berjenama Canon (modelnya tidak ingat) itu kepada saya. Saya fikir pada ketika itu, harga kamera  seperti itu tentulah ratusan ringgit. Kamera itu menggunakan filem 135 (35 mm) yang kini masih lagi boleh didapati di kedai-kedai gambar walaupun  penggunaan filem semakin dilupakan kerana lahirnya pelbagai kamera digital.

Tidak seperti kebanyakan kamera masa kini yang mudah digunakan,  kamera saya dan semua kamera pada zaman itu hanya boleh digunakan secara  manual. Untuk mendapatkan gambar yang baik, penggunanya perlu mahir menentukan apperture, shutter speed dan memusing kanta untuk mendapatkan fokus yang tepat.  Sejak itu, saya mula belajar menggunakan kamera SLR dan pada peringkat awal, gambar-gambar yang dirakam kebanyakannya tidak memuaskan. Gambar yang dihasilkan banyak yang out of  focus dan agak gelap kerana tidak pandai menentukan speed dan apperture. Walaupun begitu saya berpuas hati kerana semakin lama, pengetahuan  saya mengenai kamera semakin meningkat. Saya juga berhubung dengan seorang kawan saya (saya dah lupa namanya) di Tambak Meta, Telok Mas Melaka yang mempunyai hobi yang sama untuk belajar teknik-teknik mengambil gambar.

Juru Gambar Kampung
Konon-kononya hanya saya seorang sahaja yang mempunyai kamera "yang mahal" di kampung saya ketika itu, saya secara tidak langsung telah menjadi juru gmbar kepada ahli keluarga, saudara mara dan jiran-jiran sekampung yang hendak mengabadikan kenang-kenangan. Jika ada majlis-majlis keramaian  seperti majlis kahwin dan sebagainya, sayalah juru gambarnya yang memberikan perkhidmatan dengan bayaran sepinggan nasi minyak sahaja. Juru Gambar hari ini sangat beruntung kerana menerima bayaran yang agak lumayan dan ramai yang mampu untuk mendapatkan perkhidmatan juru gambar pada majlis perkahwinan. Berbanding saya yang hanya dibayar untuk membeli filem dan memproses gambar sahaja. Antara yang saya ingat ialah pekahwinan keluarga Nenek Enchom (allahyarhamah) di Kg Permatang Pasir dan seorang lagi di Kg Kubu, Melaka di samping merakamkan gambar keluarga Nenek Lebi (allahyarhamah) dan juga keluarga Esah Leman (juga alalhyarhamah).

Disebabkan mempunyai kamera, saya mula menulis di dalam akhbar Watan dan Majalah Sarina (kedua-dua sudah tidak terbit lagi) dan memuatkan gambar-gambar yang saya ambil di dalam artikel-artikel yang saya tulis. Saya lakukannya untuk kepuasan di samping  minat kerana  jika hendak diharapkan bayaran atau honorarium  daripada pihak akhbar, jumlahnya tidak seberapa. Saya masih ingat, akhbar Watan membayar saya sebanyak RM45.00 untuk satu muka surat penuh dalam akhbar tabloid itu dengan beberapa keping gambar. Majalah Sarina pula membayar antara RM50 - RM75  untuk satu artikel sepoanjang 3 - 5 muka surat beserta gambar.

Artikel pertama saya yang disirakan dalam akhbar Watan ialah cerita bergambar mengenai seekor kambing peliharaan  Pak Cik Lais (kini allahyarham) yang berkaki tiga. Kambing tersebut selalu memakan rumput dan tumbuh-tumbuhan di halaman rumah saya dan Pak Cik Lais pula sering  menjaga kambing itu kerana khuatir dibaham anjing liar. Apabila gambar itu tersiar beserta dengan byline saya,  habis gemuruh seluruh kampung ketika itu dan akhbar Watan itu menjadi tatapan orang kampung khussusnya di kedia kopi   seorang peniaga digelar, Pak Lah.

Tersiarnya hasil tulisan saya itu telah mendorong saya untuk menulis lebih banyak lagi dan boleh dikatakan selalu saja tulisan saya tersiar. Paling banyak di dalam majalah Sarina yang diterbitkan sebulan sekali dan ada satu dua tulisan saya dalam majalah itu menjadi kontroversi. Apabila akhbar Watan digantung penerbitannya, saya menumpukan kepada majalah Sarina sahaja dan boleh dikatakan hampir setiap bulan, ada satu atau dua buah tulisan saya tersiar. Selain artikel, saya turut memuatkan gambar-gambar yang saya "petik" daripada kamera buruk  Canon SLR itu.

Menjadi Stringer Bernama
Apabila saya bertugas di  Sabah pada 1982 saya telah berkecimpung secara serius dalam bidang kewartawanan dan mula  menulis dalam akhbar Sabah Times dan kemudiannya menjadi Stringger Bernama bagi daerah Kota Kinabalu (sebelum itu Stringer bagi kawasan Sipitang).  Namun disebabkan polisi syarikat, saya hanya menumpukan kepada penulisan berita dan rencana  dengan Bernama. Masa selepas pejabat dan hujung minggu saya habiskan di pejabat Bernama Kota Kinabalu yang ketika itu terletak di atas  sebuah kedai buku di Sinsuran. Ketua Biro Bernama yang juga Editor saya ketika itu, saudara Othman Muhammad sering memberi assignment kepada saya sama ada menghadiri sidang akhbar atau apa jua liputan yang diperlukan. Jika mana-mana event yang memerlukan gambar, saya akan ditemani dengan Juru Gambar Bernama, salah seorang daripadanya ialah saudara Murtadza Yusof (kini rasanya sudah menjadi Bos Photographer di Ibu Pejabat Bernama, Kuala Lumpur)

Sebagai Stringger Bernama saya dibayar mengikut tulisan saya yang tersiar menerusi teleprinter Bernama. namun, bayarannya agak berbaloi. Bernama sebagai sebuah agensi berita negara, membayar sebanyak RM10.00 untuk satu perenggan berita  yang digunakan atau tersiar.  Jika dalam sebulan, saya menulis 10 berita dan  50 perenggan saya akan mendapat RM500.00. Jumlah ini memang berbaloi kerana ia merupakan kerja sambilan saya sahaja. Saya pernah mendapat sehingag RM1,800 sebulan hasil daripada kerajinan saya menyumbangkan beberapa potong berita dan rencana kepada Bernama.

Tulisan saya tersiar di muka hadapan Utusan Malaysia  11 Jun 1987

Di Kota Kinabalu, saya mengenali beberapa orang Editor dan Wartawan daripada beberapa organiasasi media. Antara yang saya ingat ialah saudara Emin Madi dan Johan Aziz, Editor akhbar Sabah Times, sdr Ahmad Zaini dan Sharifuddin, Wartawan Bernama (kini di Berita Harian), sdr Linchong  Angkui dan Daud Hj Awang, Wartawan Berita Harian ketika itu serta sdr Kahim Sanip juga Stringger Bernama (kini kaki tangan Majlis Daerah Tuaran). Yang lain yang saya masih ingat ialah sdr Jumaat Enson (kini Pengarah RTM Sabah) dan beberapa orang kakitangan bilik berita RTM yang saya tidak ingat lagi namanya termauk Sdri Laila Ilok, seorang penyiar RTM Sabah. Seorang lagi yang saya kenal ialah Sdr Abd Razak Ghous, Ketua Biro Utusan Malaysia cawangan Sabah ketika itu yang berpejabat di Sembulan.

Apabila terlibat dalam dunia kewartawnan, saya  sama ada secara langsung atau tidak langsung bertemu dengan ramai orang seperti ahli akademik, ahli politik, usahawan, kakitangan kerajaan dan sebagainya. Di Kota Kinabalu, antara yang saya ingat pernah saya temuramah ialah Menteri Wilayah Persekutuan ketika itu, Dato Shahrir Samad, Menteri Kabinet Sabah Dato Hj Mohd Noor, allahyarham Presiden dan pengasas USNO, allahyarham Tun Datu Hj Mustapha, Dato Joseph Pairin Kitinggan, Dato Lajim Hj Okin (kini Timbalan Menteri Persekutuan) dan lain-lain (tidak ingat lagi sebenarnya).

Saya mengenali Prof Dato' Mohd Taib Othman  di Kota Kinabalu yang ketika itu ialah Pensyarah Universiti Malaya. Saya menemuramahnya untuk satu artikel berkaitan  Integrasi Nasional. Disebabkan kandungan artikel itu "banyak yang boleh disifatkan sebagai sensitif", Ketua Editor saya di Bernama Kuala Lumpur telah "mencincang" (istilah yang digunakan dalam penyuntingan)  banyak kandungannya selepas menelefon saya di Kota Kinabalu. Ketika itu, saya memberitahu beliau, "apa yang saya tulis ialah apa yang dikatakan oleh Prof Taib sendiri dan tidak sama sekali pendapat saya". Kesannya, daripada sebuah artikel yang panjang lebar, ia hanya disirakan sebanyak dua perenggan sahaja.  Itulah nasib Wartawan, sebaik mana pun tulisan kita, ia tertakluk kepada penyuntingan Editor. Pun begitu, saya masih bernasib baik kerana tulisan-tulisan saya tidak pernah dibakul-sampahkan, berbanding  pengalaman rakan-rakan media lain yang ada tulisannya tidak tersiar. Kepuasan seseorang Wartawan ialah apabila tulisannya disiarkan oleh mana-mana media dan lebih syok lagi jika diberikan byline.

Voucher pembayaran Brunei Press untuk berita tanpa gambar  (akhbar Bornmeo Bulletin)

Disebabkan Bernama tidak memerlukan saya mengambil gambar maka saya tidak pula membiarkan  kamera saya itu berkarat. Jadi, saya gunakannya untuk mengambil gambar-gambar  yang sesuai dan   saya  "jual" dengan akhbar Borneo Bulletin yang berpusat di Bandar Seri Bengawan, Brunei. Saya tertarik untuk menghantar karya sana ke sana kerana honorarium-nya yang lumayan. Untuk satu berita bergambar, Borneo Bulltein membayar kira-kira RM40.00 dan jumlah itu lebih mahal berbanding bayaran oleh akhbar tempatan.


Bersambung...

DSLR Nikon yang Kumiliki



(Atas) Nikon DSLR D3100 Replacement modle D3000 Harga sekitar RM2,000 sahaja.

Gambar atas ialah kamera Nikon SLR F60 SLR (menggunakan film 135) yang ketiga saya gunakan. Yang pertama jenis Canon 35 mm dan yang kedua Fujitsu 35 mm. Kamera lama, Canon 35 mm telah dicuri dan yang satu lagi entah hilang ke mana. Saya juga sudah menggunakan 3 buah camera compact (jenama Canon)dan dua buah digital compact juga jenama Canon. (tengah cari kamera tu nak ambil gambar). Nikon SLR F60 dibeli pada 2004 (dibuat pada 2003) berharga kira-kira RM3,000. Kamera ini masih berkeadaan baik (tiada pernah rosak) tetapi kalau nak "trade-in" RM200.00 pun tak laku.

6 ulasan:

  1. waaahh hebat hebat ... mahal ni .. saya tak mampu pakai Nikon ni .. Nikon dan Canon untuk org2 hebat .. saya pakai jenama Sony jer ..

    http://hasrulhassan.blogspot.com

    BalasPadam
  2. Hasrul... Tak mahal sangat pun. Tak sampai RM2,500. Sony pun ok per, cuma susah sikit nak cari part dan aksesori.

    BalasPadam
  3. minat ngan nikon..tp hb dh beli olympus... kalau ada org nk jual camera digital compact, bgtau la yer..nk wat back up

    http://denuanza.blogspot.com

    BalasPadam
  4. Oh, kesian.... Tak pelah, nanti pujuk hubby beli Nikon

    BalasPadam
  5. pening nk beli nikon d5000 ker canon 500d

    BalasPadam
  6. kalau untuk permulaan, d3100 pun dah cukup bagus

    BalasPadam