1 Zulkaedah 1431
Hari ini, 9 Oktober 2010. Bulan Islamnya ialah 1 Zulkaedah 1431. Ini bererti selepas terbenamnya matahari pada 8 Okt (semalam), berakhirlah bulan Syawal pada tahun ini.
Sepanjang Syawal, boleh dikatakan setiap hari, kita berkunjung ke rumah saudara-mara, jiran-jiran dan juga rakan taulan. Majlis rumah terbuka aidilfitri tidak putus-putus diadakan. Pada hujung minggu, trafik di Kuala Lumpur menjadi agak sesak kerana dikatakan ramai yang memandu menuju ke rumah-rumah terbuka. Syarikat korporat, syarikat besar, syarikat kecil, jabatan dan agensi kerajaan mengadakan rumah terbuka, tidak terkecuali surau dan juga masjid, sekolah dan institut pengajian tinggi --- yang menunjukkan satu perayaan yang disambut oleh pelbagai kaum di Malaysia dengan suasana gembira dan harmoni. Terpancar semangat 1Malaysia.
Klik untuk besarkan
Gambar hiasan:
Sebuah rumah terbuka Aidilfitri VIP di Jalan Ampang Hilir, Kuala Lumpur, 3 Okt 2010
Sebuah rumah terbuka Aidilfitri VIP di Jalan Ampang Hilir, Kuala Lumpur, 3 Okt 2010
Pada hari ini, Sabtu dan esok (Ahad) mungkin masih ada lagi rumah terbuka Aidilfitri yang diadakan oleh mereka yang tidak sempat mengadakan sepanjang Syawal yang lalu. Saya menerima satu jemputan rumah terbuka di Taman Pelangi Semenyih dan satu majlis doa selamat di taman saya pada Ahad. Dua jemputan pada malam semalam yang hanya satu sahaja saya dapat hadiri.
Tunggang motosikal ke rumah terbuka. Tidak sesak, tidak kena tol, tidak makan minyak banyak ..... dan tidak merempit! (gambar dirakam menggunkan slow shutter night scene mode Nikon D5000)
Tidak salah mengadakan rumah terbuka, kerana ia mepunyai nilai-nilai yang sangat baik. Bila-bila masa jua rumah terbuka boleh dianjurkan. Selain, dapat berkunjung dan berkumpul, ia juga dapat mengeratkan persahabatan dan tali silaturahim, merapatkan yang jauh dan mengakrabkan yang dekat dan saling bermaaf-maafan - - satu amalan yang dituntut oleh Islam. Namun dalam keghairahan kita menyambut Aidilfitri, janganlah hendaknya kita terlalu berlebih-lebihan. Kini kita sudah memasuki bulan Zulkaedah dan seterusnya Zulhijah - bulan di mana umat Islam yang mampu, menunaikan Rukun Islam yang kelima. Sebagai makluman, Hari Raya Haji akan disambut pada 17 November tertakluk kepada keputusan Penyimpan Mohor Besar Raja-raja. Akan ada lagi rumah terbuka Aidiladdha pula .....
Gambar hiasan. Ziarah aidilfitri dan rumah terbuka yang sempat dirakamkan
Justeru jika masih ada yang mengadakan rumah terbuka, eloklah majlis itu dijadikan majlis kesyukaran atau doa selamat. Usahlah masih dikaitkan atau dikatakan rumah terbuka Aidilfitri. Bagaimana pula mereka yang tidak pernah mengadakan rumah terbuka? Masihkah kita berjumpa pada Ramadhan dan Syawal yang akan datang? Wallahualam.
Ulasan
Catat Ulasan