Ahad, 8 Julai 2012





TEKS UCAPAN

Y.B DR. HAJI MOHD PUAD BIN HAJI ZARKASHI
TIMBALAN MENTERI PELAJARAN MALAYSIA
“MAJLIS UCAPACARA PECAH TANAH SK BANDAR SUNWAY SEMENYIH” 

Tarikh            : 7 Julai 2012 (Sabtu)
Masa              : 10.00 Pagi
Tempat          : Bandar Sunway Semenyih, Selangor. 

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum Warahmatullahi  Wabarakatuh, 

1.              Saya mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kerana  jawatankuasa pengelola upacara pecah tanah Sekolah Kebangsaan  Bandar Sunway Semenyih sudi mengundang saya ke majlis ini.  Saya berasa terharu dengan  jemputan ini dan  teruja dengan sambutan masyarakat Semenyih pada majlis pagi ini.  Saya berdoa semoga Allah melimpahai rahmat dan hidayah-Nya kepada tuan-puan sekalian. 

Tuan puan yang dihormati, 

2.              Kehadiran saya di Semenyih hari ini bukanlah yang pertama kali kerana sebelum ini juga saya sudah hadir di beberapa lokasi di Hulu Langat sama ada merasmikan program atau melakukan lawatan kerja. Pada April lalu, misalnya, saya telah diundang untuk merasmikan dewan Sekolah Menengah (SMK) Khir Johari  dan Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Beranang. Alhamdulillah, dewan yang tersergam indah itu akan dapat dimanfaatkan oleh anak-anak kita dan masyarakat sekitarnya. 

3.              Pada hari ini, saya cukup berbangga melihat komitmen masyarakat di sini yang sanggup melapangkan masa  yang saya sifatkan sebagai satu tanda penghargaan kepada kerajaan. Insya Allah, kerajaan menerusi Kementerian Pelajaran akan terus melaksanakan tanggungjawab untuk memperkasakan Agenda Pendidikan dan Pelajaran.  Malah dari masa ke semasa juga, kementerian  sentiasa berusaha mengatasi masalah-masalah infrastruktur yang berlaku baik di peringkat Jabatan, Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) dan juga sekolah-sekolah.  

4.              Dalam melaksanakan Agenda Pendidikan Negara dan bagi memenuhi keperluan masa hadapan, sekolah-sekolah baru di kawasan-kawasan tertentu atau di lokasi yang dikenal pasti akan dibangunkan. Sebagai makluman tuan puan, demi memenuhi keperluan untuk pelajaran anak-anak bukan Melayu, Perdana Menteri, Dato Seri Mohd Najib Tun Hj Abdul Razak baru-baru ini telah meluluskan pembinaan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan China (SRJKC) Sungai Long  berharga RM4.5 juta di atas tanah seluas 2.2 hektar.  

5.              Walaupun nilai semasa tanah milik Kerajaan Persekutuan untuk mendirikan sekolah itu mencecah RM22 juta, kerajaan tidak pernah memikirkan untuk membuat keuntungan mudah atau membangunkannya secara komersial. Kerajaan juga telah meluluskan sebuah lagi SRJKC di Bandar Kajang 2. Bagaimanapun, pembinaan SRJKC Sungai Long belum dapat dijalankan kerana pelan kelulusan tapak dan bangunan sekolah itu masih lagi belum diluluskan oleh Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ) yang perlu merujuk kepada Kerajaaan Negeri Selangor.   

Tuan puan yang dihormati, 

6.              Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak pernah memberikan janji kosong atau janji manis. Saya telah melakukan lawatan kerja di tapak  Sekolah Kebangsaan Bandar  Sunway Semenyih  ini pada bulan November 2010. Ekoran lawatan itu saya melihat terdapat keperluan mendesak agar sebuah sekolah baru di Semenyih dibina  dengan segera. Oleh itu, saya telah mengemukakan permohoan kepada kerajaan agar pembinaan sekolah ini dimasukkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10). Demi kepentingan rakyat, kerajaan telah meluluskan permohonan itu dan  hari ini tuan puan dapat saksikan, upacara pecah tanah ini menandakan SK Bandar Sunway Semenyih akan terdiri tidak lama lagi.  

7.              Sekolah baru ini mempunyai empat (4) blok berkonsep moden, setinggi tiga tingkat (3) merangkumi bilik-bilik pentadbiran, 24 buah bilik darjah dan sebuah perpustakaan. Sekolah ini juga dilengkapi sebuah blok pra sekolah, sebuah padang permainan dan dua (2) buah gelanggang bernilai RM18 juta di tapak seluas 2.42 hektar atau enam (6) ekar.  Insya allah, kerja-kerja pembinaan akan mengikut jadual dan dijangka siap kira-kira 15 bulan dari sekarang. Kementerian akan menyanarai-hitam kontraktor jika gagal melaksanakan kerja pada tempoh yang ditetapkan. Jika tidak rakyat akan menyalahkan kerajaan akibat kegagalan kontraktor dan sekolah tidak dapat beroperasi.

8.              Sekolah baru ini akan dapat menampung kira-kira 1,000 murid dari kawasan sekitar lima (5) kilometer seperti Taman Desa Mewah, Taman Paling Jaya, Kampung Sungai Lalang dan sekelilingnya. Sebagai mengatasi pertambahan murid pada masa hadapan, tapak ini juga boleh menampung pembangunan bilik-bilik darjah tambahan.  

9.              Saya percaya, sekolah ini nanti akan dapat mengurangkan kesesakan di sekolah-sekolah sekitarnya. Ketika ini, anak-anak dari taman ini terpkasa bersekolah di SK Semenyih, SK Bandar Teknologi, SK Taman Jasmin, SJKC Sin Ming dan SJKC Kampung Baru yang jaraknya antara dua (2) hingga (3) kilometer. Selain dimaklumkan oleh Pejabat Pelajaran Daerah, saya juga mendapat aduan daripada ibu bapa mengenai kesukaran mereka menghantar anak-anak ke sekolah-sekolah tersebut yang terpaksa bersesak di dalam bilik-bilik darjah.  

10. Saya bersyukur, tidak lama lagi kesukaran ibu bapa  itu akan berakhir kerana kerajaan amat memahami keluh kesah rakyat. Selain itu, saya percaya,  bila siapnya SK Bandar Sunway ini akan dapat mengurangkan kos pengangkutan ibu bapa kerana kedudukan sekolah ini yang hampir dengan rumah kediaman dan murid-murid boleh berjalan kaki sahaja. Tambahan pula, kedudukan sekolah ini yang jauh daripada jalan raya utama, keselamatan anak-anak akan lebih terjamin.  

Tuan puan yang dihormati, 

11. Pembangunan persekitaran yang pesat kerana wujudnya pertambhan taman-taman perumahan menyebabkan pertambahan murid meningkat dengan ketara saban tahun. Walaupun banyak sekolah dibina, ia tidak  menjamin  sekolah-sekolah tersebut tidak  mengalami kesesakan. Oleh itu, kementerian akan  meneliti pembinaan sekolah-sekolah rendah dan menengah di kawasan-kawasan yang dikenal pasti.  

12. Pada 2009, saya juga telah melawat tapak cadangan SK Bandar Tasik Kesuma Fasa Enam (6) yang terletak di Beranang.  Saya dihubungi oleh ibu bapa yang memaklumkan, SK yang ada sekarang juga mempunyai murid yang ramai dan bimbang akan berlaku kesesakan teruk. Kementerian telah mengambil pandangan semua pihak dan tindakan sedang dilakukan untuk membina sebuah lagi Sekolah Rendah yang baru di tapak yang dicadangkan. Saya berharap ibu bapa dapat bersabar dan memberi masa kepada kerajaan menyelesaikan beberapa masalah berbangkit.  

13. Dalam keadaa  Negeri Selangor yang ditabir oleh pembangkang, kita menghadapi masalah untuk mendapatkan kelulusan  membina sekolah-sekolah baru.  Seperti di Sungai Long, walaupun peruntukan sudah ada, pembinaan belum dapat dilaksankan kerana kelulusan tanah tertakluk kepada bidang kuasa pihak berkuasa kerajaan tempatan. Melainkan jika Kerajaan Negeri dapat ditukar, maka segala perancangan kementerian akan menjadi lebih mudah. 
Tuan puan dan puan-puan, 

14. Pembinaan SK Bandar Sunway ini diharap  menjadi berita gembira kepada penduduk di kawasan  ini. Saya difahamkan, sekolah ini akan beroperasi  pada 2014 dan pada ketika itu, murid-murid dari taman ini yang berada di sekolah-sekolah yang berhampiran boleh memilih untuk bertukar ke sini.  

15. Saya akhiri ucapan saya dan menasihati kepada anak-anak, belajar bersungguh-sungguh sehingga ke menara gading.  Pada zaman ini, kita tidak akan menjadi bangsa yang berjaya tanpa pelajaran yang mencukupi. Kerjaan akan sentiasa mempastikan keperluan pendikkan dan pelajaran anak-anak tidak terabai.

Oleh Itu, Dengan Lafaz Bismillah Hir Rahman Hi Rahim,

Saya Merasmikan

Upacara Pecah Tanah Sekolah Kebangsaan Bandar Sunway Semenyih Dengan Jayanya.


Sekian, Wabilah Hi Taufik Wal Hidyah

Assalamualaikum

Tiada ulasan:

Catat Ulasan