Menawan Puncak Broga

Peringatan: Sentiasa beringat dan menjaga keselamatan anda ketika mendaki dan menuruni. Cerita dan photo kemalangan di Bukit Broga (klik)

21 Nov 2010 - Kira-kira 200 peserta berjaya mendaki dan sebahagiannya menawan puncak Bukit Broga pada program pendakian yang dianjurkan oleh Kelab Rekerasi Semenyih yang turut disertai oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Datuk Hj Johan Abd Aziz. Program ini dianjurkan dengan matlamat untuk menghargai alam semula jadi di samping menyemai  aktiviti riadah untuk kesihatan yang baik.




Seorang peserta membantu YB Datuk Johan mendaki
 pada sebuah cerun yang licin

Pendakian yang berlangsung dalam keadaan cuaca yang baik itu bermula pada jam 9.00 pagi dan berakhir kira-kira jam 11.30 tengah hari. Selain peserta yang mengikuti program ini, pada masa yang sama juga terdapat antara 500 - 600 pendaki lain yang mendaki secara berkumpulan, keluarga atau bersendirian seawal jam 5.30 pagi. Di kalangan pendaki itu terdapat juga mereka yang datang dari luar negara seperti Singapura. Sebaik selesai pendakian, para peserta dibawa melawat ke Ladang Arnab (Rabbit Farm)  secara percuma dan menikmati jamuan ringan. Di samping kira-kira 30 ribu ekor arnab yang diternak di ladang ini, terdapat juga haiwan-haiwan lain seperti kuda, rusa, kijang, berok dan kura-kura.

Untuk sampai ke Broga, jika dari Kuala Lumpur hendaklah melepasi Pekan Semenyih dan memasuki Jalan Broga atau jalan yang sama menghala ke Universiti Nottingham hingga sampai kesebuah ladang sawit  (sebelah kiri) berhampiran Rabbit Farm (kanan). Perjalanan berkereta daripada Pekan Semenyih kira-kira 20 minit. Jalan masuk ke Bukit Broga sebelum sampai ke Pekan Broga.


Tiket Parkir (akan disemak semasa keluar)

Pengunjung boleh meletak kenderaan di bahu jalan atau  di ladang sawit berhampiran dengan bayaran parkir yang diuruskan oleh pemilik ladang sebanyak RM2.00 sekali masuk. Perkhidmatan teksi/kereta sewa boleh didapati dari Bandar Kajang dan Pekan Semenyih dengan harga tambang antara RM30-50.00. Pengunjung atau penumpang dinasihati berbincang mengenai harga tambang sebelum menggunakan perkhidmatan teksi/kereta sewa berkenaan disebabkan teksi yang beroperasi di Kajang berstatus "kereta sewa" dan tidak menggunakan meter.

Panduan kepada Pendaki:

1. Ramai pendaki  pada hujung minggu atau cuti umum. Lebih selesa mendaki pada hari bekerja kerana tidak sesak.
2. Mendaki pada hari hujan  menimbulkan kesukaran terutama ketika turun.
3. Masa sesuai untuk mendaki, kira-kira pada jam 6.00 pagi  dan turun kira-kira 8.00 pagi. Pendakian pada waktu ini akan dapat menyaksikan suasana matahari terbit. Pendakian awal pagi juga lebih baik untuk mengelak daripada panahan matahari terik ketika turun.
4. Jika hendak menyaksikan matahari terbenam, masa pendakian ialah kira-kira jam 5.00 petang
5. Gunakan pakaian yang sesuai dan bertopi/menutup kepala. Pakai kasut kanvas betapak getah.
6. Mendaki dalam kumpulan. Jika berlaku sesuatu perkara, ada teman yang boleh membantu.
7. Bawa minuman/air masak yang secukupnya. Mungkin sebotol untuk mendaki dan sebotol untuk menuruni memadai. Bawa sedikit makanan ringan/mengalas perut jika tidak tinggal lama di puncak dan lebih sesuai/mudah dimasukkan ke dalam beg galas belakang.
8. Bawa telefon bimbit dan bateri dicas secukupnya serta mempunyai kredit (keperluan jika berlaku kecemasan)
9. Sentiasa berwaspada ketika mendaki/menuruni.  Berjalan mengikut keupayaan sendiri secara rilex/santai. Usah terburu-buru atau cepat-cepat hendak sampai. Ada tempat yang agak licin dan boleh tergelincir jika silap langkah.

Kalau putus.... ? arghhhhh......
10. Berhati-hati ketika memegang tali untuk mendaki  ke puncak 400 meter. Mana tahu jika tali tersebut sudah reput. Di peringkat ini, pendaki perlu memanjat bongkah batu yang terlalu besar dan terpaksa berpaut kepada seutas tali yang tersedia. Tiada laluan lain untuk ke puncak.
11. Dari puncak Bukit Broga, pendakian boleh diteruskan ke Gunung Tok Wan. Pendakian ke Gunung Tak Wan memakan masa antara 3 - 5 jam lagi.

Video di Puncak (YouTube)

12. Jika membawa anak-anak kecil, sila awasi mereka sentiasa.
13. Pendaki-pendaki baru mungkin perlu mengambil masa kira-kira sejam untuk mendaki dan 40 minit untuk turun. Pendaki yang telah biasa mengambil  masa kira-kira 50 minit untuk naik dan turun.
14. Jangan membuang samah di sepanjang perjalanan. Pelihara alam sekitar kita. Selamat mendaki dengan jaya dan selamat.

Nota: Kepada Pencinta Alam, terima kasih di atas pandangan. Kepada Faerrin dan Mie, tidaklah seteruk mana sampah-sarap yang dikatakan itu. Apa yang SemenyihBaru  nampak, alam semula jadinya masih terpelihara. Kalau pun ada, hanyalah  buangan beberapa bekas/botol minuman di cerun-cerun. Tidak tahu pula, jika lokasi pembuangan sampah itu tidak saya nampak. Peserta program ini juga telah membawa turun sedikit sebanyak sampah sarap yang ditemui sebagai satu cara menghargai alam semula jadi.

Ulasan

  1. Salam ...
    Saya difahamkan puncak ni tempat yang cantik ...

    BalasPadam
  2. Keindahan alam kejadiaaan Allah. Dapat melihat persekitaran Kampung Broga, Semenyih dan sekitarnya.

    BalasPadam

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Orang Asli Kampung Kechau Semenyih

11 Syarikat Kuari di Hulu Langat

Apa Jadi Jalan Sungai Tekala Hulu Langat